KUALA LUMPUR 13 Ogos – Pertemuan delegasi Australia yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi negara itu ke Malaysia, Andrew Goledzinowski bersama Majlis Penasihat Kerajaan hari ini tidak langsung membincangkan isu mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Bukit Aman, Sirul Azhar Umar.
Sebaliknya, Goledzinowski memberitahu, pertemuan kira-kira satu jam setengah itu lebih kepada isu-isu mereformasikan institusi pendidikan dan perkhidmatan awam antara kedua-dua negara.
“Dalam perbincangan hari ini, Majlis Penasihat Kerajaan benar-benar berminat dengan sistem pendidikan di Australia.
“Perbincangan hari ini lebih bertumpu kepada perkongsian maklumat. Kita juga ada memberi beberapa cadangan untuk penambahbaikan. Kita juga ada kelemahan. Kita belajar daripada kesilapan terdahulu,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini hari ini.
Antara yang hadir adalah bekas Setiausaha Kewangan negara itu, Jane Halton; bekas Pengerusi Suruhanjaya Produktiviti, Garry Banks dan pakar pendidikan, Bruce Chapman, Wendy Jarvie dan Mike Gallagher.
Sebelum ini, Menteri Luar Australia, Julie Bishop berkata, sehingga ini Malaysia sehingga kini masih belum memohon secara rasmi ekstradisi Sirul Azhar yang kini ditahan oleh imigresen negara terbabit. – UTUSAN ONLINE











