JENAMA telefon pintar buatan Perancis, Wiko kembali mewarnai industri peranti mudah alih dengan memperkenalkan koleksi terbaharu syarikat itu View 2 Pro dengan tanda harga RM999 seunit.
View 2 Pro merupakan edisi naik taraf siri View Prime yang diperkenalkan pada tahun lepas dengan beberapa penambahbaikan menarik bagi menyesuaikan diri dengan permintaan semasa pasaran telefon pintar negara ini.
Tidak mahu ketinggalan dengan rekaan notch View 2 Pro turut memperkenalkan sedikit kelainan dalam mengadaptasi konsep popular dalam kalangan pengeluar peranti pintar selepas ia menjadi satu trend.
Kelihatan seperti bermata satu dan sedikit pelik, mungkin notch View 2 Pro cuba lari daripada kelaziman yang dibawa oleh peranti lain.

Waima apa jua kelainan yang cuba dibawa dalam rekaan notch, Wiko cuba mencari identitinya sendiri supaya ia kelihatan berbeza dan boleh menarik minat pengguna.
Masih mengekalkan harga kompetitif di bawah aras RM1,000, peranti ini cuba memberikan lebih opsyen kepada pengguna di luar sana yang sedang mencari telefon bersesuaian dengan bajet masing-masing.
Atas kertas, spesifikasi View 2 Pro lebih menjurus kepada konsep premium bagi kategori entri pasaran dengan mensasarkan mereka yang tidak mahu berbelanja lebih daripada tiga angka tetapi masih mahukan satu peranti boleh melakukan kerja tanpa banyak ragam.
Biarpun hanya berbekal pemprosesan Qualcomm Snapdragon 450, lapan teras 1.8 Ghz, View 2 Pro masih mampu menjalankan tugas dengan baik meskipun ada sedikit kemusykilan awal ketika menggunakan peranti pintar ini dan ia bersandarkan kepada pengunaan harian melibat operasi tidak berat pada telefon pintar tersebut.

Reka Bentuk
View 2 Pro dibina menggunakan logam dengan rekaan rangka tunggal atau unibody dengan kemasan seakan kaca pada bahagian belakang dan ia nampak menarik dengan kesan kilat. Pengguna di negara ini boleh memilih sama ada warna hitam atau emas.
Dari segi saiz View 2 Pro didatangkan dengan paparan skrin bersaiz enam inci berbanding model View Prime 5.7 inci. Biarpun ia hanya peningkatan 0.3 inci, namun ia dibantu dengan nisbah skrin 19:9 untuk menjadikan paparan nampak lebih menyeluruh pada permukaan muka telefon.
Model kali ini juga masih mengekalkan butang kuasa pada sisi kanan di bawah butang suara serta mengekalkan bahagian kiri kosong supaya nampak lebih kemas.

Keselamatan
Bonus untuk pengguna, Wiko View 2 Pro membekalkan ciri keselamatan ekstra dengan face unlock yang berfungsi dengan baik meskipun dalam keadaan cahaya rendah.
Cubaan menggunakan fungsi tersebut memuaskan dan tiada aduan mengenainya sepanjang mengguna unit View 2 Pro.
Ciri-ciri keselamatan lain seperti cap jari masih dikekalkan sebagai opsyen kepada pengguna yang inginkan lebih sekuriti kepada telefon pintar yang dimiliki.
Kamera

Semestinya, kamera sentiasa menjadi tumpuan setiap pemilik telefon pintar. View 2 Pro dibekalkan dengan dwi-kamera utama 16 megapiksel (MP) dan 8MP f/1.75 apertur Sony IMX499 dengan “Super PDAF”.
Kamera swafoto pula dijana oleh lensa tunggal 16MP f/2.0 apertur yang menjanjikan kesan bokeh maksimum dengan kurang gangguan.
Atas kertas ia nampak menarik, namun secara realiti adakah apa yang didakwa oleh Wiko boleh disampaikan kepada pengguna.
Ujian demi ujian merakam foto menggunakan View 2 Pro boleh dikatakan amat memuaskan kerana setiap imej yang dirakam masih mengekalkan butiran jelas sama seperti imej asal.
Kesan bokeh yang sentiasa menjadi kegilaan pemilik telefon pintar pada masa kini merupakan salah satu titik fokus setiap pengeluar peranti.
Dalam kes View 2 Pro, kameranya mampu menghasil kesan maksimum berlatar belakang kabur dengan baik dan masih memberikan ruang kepada pemilik untuk mengawal tahap yang dikehendaki.
Ciri ini sememangnya menjadi standard baharu setiap peranti pintar dan buat pengguna yang gemarkan kesan tersebut, View 2 Pro menjanjikan kepuasan kepada pemilik apabila menggunakan mod tersebut.
Secara peribadi, tiada isu besar apabila bercerita mengenai kamera dan hasil imej yang diambil menggunakan View 2 Pro.

Fungsi
Setiap unit View 2 Pro didatangkan dengan 4 gigabait (GB) RAM, dengan ruang storan sebesar 64GB dan mampu menampung sehingga 256GB kad mikroSD.
Sistem operasi (OS) View 2 Pro dijana oleh Android Oreo 8.0.0 dan masih mengekalkan rekaan antara muka kemas pure andriod. Secara peribadi ikon pada menu kelihatan sedikit kecil, namun buat mereka yang gemarkan saiz sedemikian ia boleh menjadi salah satu faktor memilih View 2 Pro.
Secara teori mungkin ikon yang direka sedemikian untuk memperlihatkan saiz skrin jauh lebih besar berbanding menggunakan ikon besar.
Ketahanan bateri untuk peranti ini, Wiko mempertaruhkan 3,000 mAh bagi memastikan setiap pemilik boleh mengharungi pengunaan seharian tanpa sebarang masalah.
Jika kuasa bateri tersebut berkurangkan, pemilik boleh memilik mod Battery Saver untuk memastikan peranti masih boleh digunakan pada saat-saat memerlukan.
Setiap pembelian View 2 Pro, pengguna akan dibekalkan bersama-sama satu unit pengecas, fon telinga, dan pelindung skrin dan sarung telefon serta penggantian percuma 120 hari.

Kesimpulan
Fokus Wiko dalam memberikan pengguna sebuah unit peranti pintar mampu milik dan masih mengekalkan ciri-ciri premium pada entri pasaran merupakan satu tindakan baik.
Biarpun terdapat beberapa perkara yang difikirkan boleh diperbaiki terutama dari segi bekalan kuasa bateri serta cip pemprosesan, namun bagi pasaran negara ini peranti yang dibekalkan masih relevan buat mereka yang mempunyai bajet kurang dari RM1,000.
Sedikit sebanyak, Wiko cuba sebaiknya untuk memberikan kepuasan pengguna ketika menggunakan peranti mereka dan berharap ia kekal sebagai alat pilihan pada masa akan datang selepas telefon perlu ditukar ganti.
Pada penulis isu ketahanan Wiko tidak perlu dipersoalkan kerana model-model terdahulu yang pernah diuji dan digunakan sebelum ini tidak menampakkan ia lesu atau mendatangkan banyak masalah.
Jika ditanya apakah rating wajar diberikan kepada peranti ini, penulis berani letakkan skor tujuh daripada jumlah keseluruhan 10 dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan kamera, bateri dan fungsi secara keseluruhan.
Buat mereka yang mencari peranti mampu milik dan bersesuai dengan bajet poket masing-masing boleh mencuba jenama ini. – K! ONLINE
Spesifikasi
- Sistem Operasi | Android 8.0 (Oreo)
- Pemproses | Qualcomm Snapdragon 450 Lapan Teras 1.8 GHz, Cortex-A53
- GPU | Adreno 506
- Kad Sim | 2 sim nano
- Saiz | 6.0 inci
- Berat | 164 gram
- Bateri | 3,000 mAh Li-Po
- ROM | 64GB
- RAM | 4GB
- Bluetooh | 4.2
- USB OTG | Dilengkapi
- Bicu Audio | 3.5mm
- Kamera Utama | Dwi 16 / 8 megapiksel, f/1.75
- Kamera Hadapan | 16 megapiksel, f/2.0











