KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kes saman fitnah oleh bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap seorang kontraktor atas dakwaan salah guna kuasa berjaya diselesaikan secara baik hari ini.
Kes itu sepatutnya mula dibicarakan hari ini namun tidak diteruskan selepas defendan, Zaid Omar yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik semula penyataan yang diterbitkan dalam laman sosial Facebook miliknya.
Selain itu defendan juga akan menerbitkan pernyataan penyelesaian dalam laman sosial sama dalam tempoh 48 jam.
Pada 12 Disember tahun lalu, Ahli Parlimen Bera itu memfailkan saman tersebut selepas Zaid melalui akaun Facebooknya di bawah nama ‘Zaid Bera’ memuat naik dan menyiarkan pernyataan fitnah terhadap Ismail Sabri pada 26 September 2017.
Ismail Sabri mendakwa, pernyataan fitnah itu dalam makna asal dan biasa atau secara inferen bermaksud Ismail Sabri menyalahgunakan kuasa sebagai menteri dan mengeluarkan arahan kepada Giat Mara cawangan Bera bahawa pemilihan kontraktor tempatan di daerah Itu akan dijalankan secara tender tertutup. – UTUSAN ONLINE











