KOTA BHARU 13 Ogos – Walaupun tidak memiliki kesempurnaan seperti kanak-kanak normal namun anak-anak istimewa tetap mempunyai impian untuk memperoleh kejayaan dalam bidang yang diminati.
Berikutan itu, seramai 30 anak-anak istimewa daripada Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Panji, dekat sini dirai dalam Program Jom Masak Bersama Chef di Hotel Perdana.
Penolong Pengurus Eksekutif Hotel Perdana Kota Bharu, Amer Ahmad berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada anak-anak istimewa untuk merasai suasana memasak dalam persekitaran hotel bersama chef yang berpengalaman.
“Dengan program sebegini mampu memupuk minat anak-anak istimewa ini supaya lebih berusaha dalam bidang yang diminati untuk dijadikan kerjaya mereka pada masa hadapan.
“Kita adakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program ini antaranya mereka diberi peluang untuk menyediakan sandwich dan burger mengikut kreativiti mereka. Kita ada 7 orang Chef yang berpengalaman dan 30 kakitangan untuk bersama-sama dengan anak-anak istimewa ini,” katanya di sini hari ini.
Program anjuran Hotel Perdana itu juga merupakan salah satu program tahunan tanggungjawab korporat sosial (CSR) dalam membantu golongan yang memerlukan terutama anak-anak istimewa dan berkongsi kegembiraan bersama.
Yang turut hadir, Penolong Pengarah Pendidikan Khas, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas (Jabatan Pendidikan Negeri(JPN) kelantan, Noor Azran Mohamad Noor dan Ketua Jabatan Jualan dan Pemasaran Hotel Perdana, Nik Adura Zuliana Nik Rashid.
Sementara itu, Noor Azran berkata, program itu juga mampu mencungkil bakat anak-anak istimewa apabila mereka berkesempatan untuk menunjukkan bakat masing-masing untuk diketengahkan.
“Program ini memberi pengalaman baharu kepada anak-anak untuk merasai suasana persekitaran hotel sekaligus mereka berkesempatan untuk memasak dan bertanya soalan dengan Chef yang berpengalaman, “ ujarnya. – UTUSAN ONLINE











