KUALA LUMPUR 13 Ogos – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 29 Oktober ini pengurusan kes seorang kerani Kristian berbangsa Melanau, Jill Ireland Lawrence Bill supaya beliau diberikan hak untuk mengimport cakera padat (CD) ajaran agama Kristian mengandungi kalimah Allah.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan kerajaan memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Nor Bee Ariffin di kamar hakim di sini untuk pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu memaklumkan kepada mahkamah sama ada terdapat kemungkinan untuk kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah.
Menurut Shamsul, peguam Lim Heng Seng yang mewakili wanita itu sedang berusaha melihat sebarang kemungkinan untuk kes tersebut diselesaikan di luar mahkamah ekoran pertukaran kerajaan.
“Namun begitu, jika hendak selesai, peguam mewakili Jill perlu menunggu perkembangan rayuan dalam kes Presiden Gereja Sidang Injil Borneo (SIB), Datuk Jerry W. A. Dusing @ Jerry W. Patel yang kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan pada 22 Oktober ini. Ini kerana kes tersebut melibatkan isu yang serupa iaitu penggunaan kalimah Allah,” kata Shamsul.
Pada 20 Ogos 2008, Jill memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mandamus (memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) bagi mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengembalikan kelapan-lapan CD tersebut.
Wanita itu turut memohon perisytiharan bahawa dia mempunyai harapan sah untuk bebas menggunakan perkataan Allah selain mempunyai hak memiliki, memperoleh, menggunakan dan mengimport bahan yang dicetak serta diterbitkan termasuk lapan CD itu.
Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Jill menyatakan, lapan CD ajaran agama Kristian yang dibawa masuk dari Indonesia untuk kegunaan sendiri itu dirampas semasa dia tiba di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang pada 11 Mei 2008.
Bagaimanapun pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan memutuskan KDN tidak mengikut undang-undang ketika merampas lapan CD milik Jill. KDN bagaimanapun merayu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya memulangkan CD milik wanita Sarawak itu. – UTUSAN ONLINE











