PUTRAJAYA 13 Ogos – Rakyat Malaysia perlu mencontohi semangat patriotisme seperti yang dimiliki rakyat Jepun dengan menyokong membeli produk tempatan sehingga dikenali dunia sebagai produk berkualiti, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata rakyat Jepun bertindak membantu apa juga industri negara mereka termasuk industri automotif kerana mempunyai semangat patriotisme secara praktikal.
Pada permulaan Jepun menceburi bidang automotif, keluarannya tidak begitu tinggi mutunya namun sokongan rakyatnya yang patriotik menyebabkan industri itu dapat diperbaiki lagi.
“Dalam pembuatan kereta mereka semakin lama semakin maju sehingga hari ini sampai ke tahap dikenali dunia sebagai negara yang keluarannya bermutu tinggi. Inilah hasil pengorbanan mereka (rakyat Jepun) pada awalnya yang membeli barangan buatan mereka sendiri,” katanya.
“Orang Malaysia pun suka membeli kereta Jepun yang berkualiti walaupun harga lebih mahal dari Proton,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata jika rakyat mencontohi sikap patriotisme orang Jepun, Malaysia akan membangun dan menjadi negara maju. – BERNAMA











