LGBT: Lihat statistik HIV/AIDS - Utusan Malaysia

LGBT: Lihat statistik HIV/AIDS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, STATISTIK terbaharu penghidap penyakit HIV/AIDS mutakhir ini menunjukkan satu perubahan yang ketara dari aspek cara penyebaran penyakit tersebut.

Walaupun secara tahunannya menunjukkan penurunan kes-kes baharu HIV/AIDS, namun yang lebih membimbangkan adalah peningkatan secara drastik jangkitan HIV berpunca daripada hubungan seksual sama ada daripada aktiviti homoseksual (sejenis) atau heteroseksual (normal).

Apabila masyarakat mengulas statistik yang dikeluarkan bermula 2016, maka secara tidak langsung ia berkait dengan isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang sudah kita maklum mengenai status orientasi songsang mereka, sama ada mengenai isu naluri seksual, hak bertukar jantina (transgander), hak mereka berkahwin sejenis dan banyak lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Persoalannya, adakah salah dan tidak beretika apabila kita mengulas mengenai statistik ini dan kaitannya dengan LGBT?

Adakah LGBT di Malaysia ini bebas daripada konsep ‘homoseksual’ dan ‘heteroseksual’?

Jika jawapannya adalah ‘ya’, maka lebih baik tidak perlu menggelarkan diri mereka sebagai golongan LGBT, berjuang sahaja dengan naluri fitrah anda sebagai hamba tuhan.

Sebenarnya tiada istilah diskriminasi (homofobia, heterofobia, transgender-fobia) yang cuba dibawa oleh golongan hak asasi manusia di Malaysia bagi menyucikan imej golongan LGBT di negara ini.

Tidak salah saya katakan bahawa mereka yang bersuara untuk memperjuangkan hak LGBT ini adalah ‘duri dalam daging’ ke arah menjayakan ‘Program Rancangan Strategik Kebangsaan Menghapuskan AIDS 2016-2030’.

Mereka secara tidak langsung menggalakkan aktiviti seksual songsang serta seks bebas sama ada dalam bentuk ‘homoseksual’ dan ‘heteroseksual’ yang kini menjadi penyumbang tertinggi kepada penularan HIV/AIDS di Malaysia.

Apabila kita menolak LGBT bukan bermakna kita mendiskriminasikan individu-individu atau golongan tersebut.

Sebenarnya, sudah ramai orang perseorangan, kumpulan mahupun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah lama giat menjalankan aktiviti sokongan sosial yang menjurus kepada bimbingan agama, dengan harapan akhirnya membawa mereka kembali mengenali fitrah dan naluri asal yang suci sebagai seorang manusia.

Adapun tempelan palsu tertentu yang dikatakan turut memberi sokongan oleh individu atau gerakan hak asasi manusia tertentu hanyalah menjurus kepada pengiktirafan naluri songsang LGBT, kononnya supaya mereka bebas menjalankan aktiviti dan tidak perlu ada rasa malu untuk mendapatkan akses rawatan.

Namun, jauh sekali daripada mengajak dan membimbing mereka ke arah mengenali semula orientasi fitrah manusia yang sebenar.

Aspek penerangan dan pendidikan kepada masyarakat tentang kesan negatif LGBT dengan menilai melalui angka-angka statistik bukanlah satu bentuk diskriminasi atau mahu membina persepsi buruk terhadap mereka.

Sebaliknya, angka statistik ini satu usaha murni untuk membendung penularan budaya songsang LGBT daripada terus menyerang generasi muda-mudi di bumi Malaysia ini.

DR. ABDUL RAHMAN DASHUKI

Aktivis I-Medik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×