KUALA LUMPUR 11 Ogos – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kembali bertugas minggu hadapan selepas keadaan kesihatannya semakin baik setelah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas, 12 Julai lalu.
Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim berkata, Muhyiddin juga akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh dalam sidang Dewan Rakyat, Selasa ini dan menghadiri beberapa mesyuarat.
Namun begitu, kata Hafiz, Muhyiddin akan terus menjalani rawatan susulan untuk tempoh enam bulan akan datang.
“Atas nasihat doktor, beliau akan menjalani rawatan susulan termasuk kemoterapi sebagai langkah bagi memastikan masalah ketumbuhan itu tidak berulang.
“Pihak pejabat Menteri Dalam Negeri juga ingin memaklumkan bahawa tugas-tugas rasmi beliau adalah agak terhad sepanjang beliau menjalani rawatan susulan untuk memastikannya dapat menjalani rawatan dengan sempurna dan pulih sepenuhnya,” kata Hafiz dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook Muhyiddin, hari ini.
Muhyiddin menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas, 12 Julai lalu di sebuah hospital pakar di Singapura dengan tugasnya sebagai Menteri Dalam Negeri diambil alih sementara oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN ONLINE










