SHAH ALAM 21 Mei – Empat nama disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari; ADUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei; ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad dan ADUN Seri Setia, Dr. Shaharuddin Badaruddin.
Bagaimana daripada kesemua calon tersebut, Amirudin dikatakan menjadi pilihan utama PKR untuk memimpin Selangor kerana beliau sudah dua penggal terlibat dalam pentadbiran negeri selaku Exco selain diketahui merupakan tokoh muda PKR yang rapat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sumber dalaman PKR Selangor memberitahu, Amirudin dianggap sebagai calon paling sesuai kerana walaupun masih muda tetapi ADUN Sungai Tua tersebut merupakan Exco yang paling berpengalaman ketika ini sejak mula dilantik pada 2008.
“Amirudin memainkan peranan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi pada penggal lalu dan dilantik semula untuk jawatan yang sama pada penggal kali ini.
“Selain itu, beliau dilihat sebagai antara pemimpin muda dalam PKR yang menyerlah di Selangor selain mempunyai larat belakang pendidikan yang baik serta dikenali sebagai aktivis pembangunan masyarakat sivil,” kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun, nasib calon-calon tersebut sama ada terpilih menjadi Menteri Besar bukan bergantung kepada soal rapat dengan Mohamed Azmin atau tidak kerana suasana dalaman PKR sudah berubah sejak Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas daripada penjara.
Ini kerana selain penerimaan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, restu keluarga Anwar dilihat bakal menjadi antara penentu sebenar siapa bakal Menteri Besar Selangor yang baharu.











