PERMATANG PAUH 21 Mei – Polis Seberang Perai Tengah (SPT) menahan dua lelaki yang menaiki kereta dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan pasar awam Permatang Pauh malam tadi.
Ketua Polis Daerah SPT Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, polis menemukan satu plastik lutsinar mengandungi cebisan daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 7.5 gram (g) daripada salah seorang suspek ketika menahan mereka pukul 9.35 malam tadi.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut ke atas kereta yang dinaiki kedua-dua mereka yang berasal dari Pokok Sena dan Alor Setar, Kedah itu kemudiannya menemukan satu lagi plastik lutsinar mengandungi cebisan daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 231 g.
“Anggaran nilai dadah yang dirampas adalah RM550 dan kedua-dua suspek yang berusia 36 dan 41 tahun itu kini ditahan reman selama lima hari sehingga 25 Mei ini.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B dan Sek. 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











