[VIDEO]Dua tekong Vietnam tawar RM1,000 untuk bebas - Utusan Malaysia

[VIDEO]Dua tekong Vietnam tawar RM1,000 untuk bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 21 Mei – Dua tekong warga Vietnam menawarkan RM1,000 kepada pegawai penguat kuasa supaya mereka bersama 17 awak-awak dibebaskan selepas dikesan menceroboh perairan negara di dua lokasi di perairan daerah ini, pagi semalam.

Bagaimanapun cubaan lelaki berusia 49 dan 51 tahun untuk merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu gagal, dan kesemua nelayan terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, hasil pemeriksaan mendapati hanya enam nelayan yang mempunyai dokumen pengenalan diri daripada keseluruhan yang berusia antara 14 hingga 54 tahun itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, penahanan bot pertama bersama 14 nelayan dilakukan pada pukul 7.16 pagi di 73 batu nautika dari Kuala Terengganu disusuli kes kedua pada pukul 8 pagi melibatkan sebuah bot bersama lima nelayan pada kedudukan 77 batu nautika.

“Kita percaya kedua-duanya menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda ganding yang diharamkan di negara ini.

“Selain dua buah bot dan peralatan, turut dirampas dua tan ikan pelbagai jenis, 500 kilogram ikan baja di samping 3,000 liter diesel

yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Rahim, kes itu disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran di samping Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana cubaan memberi suapan kepada pegawai Maritim Malaysia.

Beliau berkata, tangkapan terbaharu dalam tempoh kurang seminggu selepas kejadian sama membabitkan dua buat bot dengan 18 nelayan Vietnam pada Rabu lalu itu berkemungkinan kerana nelayan asing terbabit menyangkakan penguatkuasaan Maritim Malaysia longgar berikutan musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Maritim Malaysia tidak akan sesekali berputus asa dan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Rondaan dan pemantauan berterusan akan terus diperkasakan bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim, justeru, kerjasama orang ramai amat dipohon untuk melaporkan maklumat dan salah laku di perairan negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Video oleh FARID JANUDIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN