Kerajaan tubuh pasukan khas siasat 1MDB - Utusan Malaysia

Kerajaan tubuh pasukan khas siasat 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes berkaitan 1MDB termasuk pengesanan, rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang berkaitan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini berkata, pasukan khas itu diketuai bersama oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju membentuk pasukan khas siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB,” kata kenyataan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kenyataan itu menyebut, pasukan khas ini bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset berpunca daripada salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam atau luar negara.

“Pasukan khas ini juga bertanggungjawab mendapatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara berkaitan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, selain wakil SPRM, polis, dan Jabatan Peguam Negara, ia turut dianggotai wakil Bank Negara Malaysia dan beberapa tokoh perundangan yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

“Kerajaan berharap penubuhan Pasukan Khas ini dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan yang terlibat akan berupaya mengembalikan maruah negara yang telah tercemar selama ini di samping mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN