PUTRAJAYA 21 Mei – Mahkamah Rayuan sebentar tadi menolak rayuan seorang anggota polis berpangkat koperal yang dijatuhi hukuman gantung kerana membunuh kekasihnya yang sedang hamil, tiga tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki mengekalkan hukuman mati terhadap Muhammad Faizal Salim, 41, selepas berpuas hati rayuannya tiada merit. Perayu ketika itu bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, Johor.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara berpendapat, keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh bagi mensabitkan perayu terhadap tuduhan yang dihadapinya.
Muhammad Faizal didapati bersalah membunuh Nik Norzielawati Akmar Afandi, 35, yang merupakan seorang janda di antara pukul 11 malam, 12 April 2015 dan 12.30 tengah malam keesokannya di Taman Rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik, Jalan Bukit, Mersing.
Pembantu kedai makan tersebut yang ketika itu sedang mengandung enam bulan mengalami 47 kecederaan, manakala 18 kecederaan daripadanya tertumpu di bahagian kepala. – UTUSAN ONLINE











