Mahkamah tolak tuntutan bekas suami Elly Mazlein - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak tuntutan bekas suami Elly Mazlein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Mei – Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein, 38, meluahkan rasa syukur apabila Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak tuntutan bekas suaminya yang juga seorang pengarah, Azmi Hatta untuk memenjarakannya.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, membuat luahan tersebut menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya hari ini.

Menurut Elly, lelaki tersebut mendakwanya sebagai seorang ibu yang tidak bertanggungjawab terhadap anak mereka, Putri Sara Sefhia, 2.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hari ini saya menang lagi setelah mahkamah menolak permintaan atau tuntutan daripada Azmi untuk penjarakan saya. Dia nak saya dipenjarakan atas sebab-sebab yang sangat tidak cerdik dan Alhamdulillah, keadilan berpihak kepada saya.

“Walaupun kejam kelakuan Azmi terhadap saya, tetapi saya akan kuat demi Sefhia. Saya akan berdiri teguh demi Sefhia. Apa sahaja yang dia nak buat, saya tetap akan lawan,” katanya tegas.

Pada masa yang sama, menerusi kapsyen yang dimuat naik bersama video tersebut, Elly meminta agar Azmi membayar nafkah untuk anak mereka.

“Lepas ini, saya akan usahakan pula cadangan meminta pihak produksi yang Azmi sedang bekerja memotong gajinya setiap bulan untuk urusan pembayaran nafkah Sefhia yang hanya RM1,500.

“Azmi wajib memberi nafkah kepada Sefhia. Saya bersyukur kerana mampu sara Sefhia dengan rezeki Allah bagi ini. Cuma saya mahu Azmi bertanggungjawab kepada Sefhia. Itu duit Sefhia, hak dia,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Elly yang mesra dengan panggilan Kak Lina turut mengucapkan terima kasih kepada bapanya serta peminat yang sentiasa memberi semangat serta kekuatan kepadanya.

Elly dan Azmi berkahwin pada 9 November 2014 sebelum bercerai pada 15 Oktober 2016. Azmi kemudiannya berkahwin dengan pelakon Faye Kusairi pada 9 April 2017 dalam sebuah majlis tertutup. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini