KUCHING 21 Mei – Kempen Pemantau Bersih (Sarawak) menerima 32 aduan berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di seluruh negeri ini terutama Parlimen Stampin ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini.
Naib Pengerusi Bersih (Sarawak), Ann Teoh berkata, aduan tersebut diterima khususnya di Parlimen Stampin yang berkaitan pemberian hadiah, jamuan, pengaruh tidak wajar daripada pihak tertentu, berkempen pada hari mengundi dan lain-lain lagi.
Katanya, antara aduan diterima melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang didakwa dilihat berjabat tangan, meraih undi dan berucap di hadapan penyokong di luar pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Landeh dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu 10.
“Bukan itu saja, pemantauan kami juga mendapati terdapat kegiatan mencurigakan terancang dengan pengundi menunjukkan kad pengenalan kepada seorang individu sebelum menandatangani sesuatu dan diberikan sejumlah wang atau satu sampul coklat yang disyaki aktiviti membeli undi.
“Justeru, kami meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat individu-individu yang dipercayai melakukan kesalahan berkenaan dan aktiviti membeli undi di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Laporan Ringkas Pasca PRU-14 di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, segala maklumat, video dan gambar berkaitan telah dikumpulkan pihak Bersih pusat bagi seluruh negara untuk tindakan lanjut.
“Pihak kami juga menawarkan diri untuk bekerjasama dengan SPR untuk membekalkan bukti-bukti pemantauan jika diperlukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ann memberitahu, pihaknya berharap agar SPR juga selepas ini akan melantik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan proses pilihan raya sebagai pemantau.
Katanya, dalam PRU-14 lalu hanya sebanyak lima pertubuhan dilantik sebagai pemantau di negeri ini iaitu Kesatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA); Persatuan Kebangsaan Oarang Ulu Sarawak; Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak; Persatuan Melanau Sibu dan Persatuan Cina Miri.











