IPOH 18 Mei – Ibu kepada tiga kanak-kanak yang maut ditetak dalam kejadian amuk di rumah mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Rungkup di Bagan Datuk semalam, sempat menghubungi sepupunya bagi meminta bantuan.
Sepupu mangsa yang dikenali sebagai Zul, 38, berkata, Zuraidah Md. Ali menghubunginya dalam keadaan cemas memberitahu suspek sedang cuba memecah masuk ke rumah mereka dalam keadaan marah dan menjerit-jerit.
Lelaki itu berkata, dia kemudian membuka pintu rumahnya yang terletak selang sebuah daripada rumah mangsa dan mendengar jeritan meminta tolong keluarga berkenaan.
“Saya dengar jeritan Zuraidah dan tangisan anak-anaknya menerusi talian telefon yang masih aktif sebelum suara tangisan dan jeritan itu semakin perlahan dan terus hilang.
“Saya panik dan tidak tahu apa yang sebenarnya yang terjadi. Bagaimanapun setelah melihat Rambo keluar dari rumah itu dengan tangan yang berlumuran darah, saya yakin pasti sesuatu yang buruk telah berlaku” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, tiga mangsa maut di tempat kejadian iaitu Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhammad Firash Zaffril, 3.
Ibu mangsa, Zuraidah, 35, pula mengalami kecederaan parah manakala kakak sulung mangsa, Nur Zuryn Faziera, 9, serta bapa mangsa, Mohd. Fadzil Mohammad, 32, cedera ringan.
Zul memberitahu, suspek yang dikenali sebagai Rambo dan suami Zuraidah, Mohd. Fadzil adalah pekerjanya di ladang kelapa sawit dan mereka tidak pernah bergaduh sebelum ini.
Ujarnya, pada hari kejadian suspek telah mengejar Mohd. Fadzil sehingga keluar rumah namun berpatah balik ke rumah berkenaan sebelum menyerang anak-anak dan isteri lelaki itu.
“Semasa saya sampai di rumah mereka, saya lihat Firash dalam keadaan terlentang di ruang tamu manakala Ziah dan Haq pula masing-masing di pintu bilik utama dan pintu belakang rumah selain Zuraidah di dalam bilik belakang yang dijadikan stor.
Kesemua mereka berlumuran darah.
“Mujur ibu Zuraidah yang turut berada di rumah itu tidak dicederakan oleh Rambo. Ibu saudara saya itu sakit tua dan dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku terhadap keluarga anaknya itu,” katanya.










