PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) mengharapkan bekas penyerang Selangor, Terengganu dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Paulo Rangel akan dapat beraksi bersama skuad Helang Merah pada perlawanan Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 22 Mei ini.
Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, Rangel yang merupakan penyerang import kelahiran Brazil kini mewakili kelab Nakhon Ratchasima yang bersaing dalam Liga Thailand.
Katanya, pihaknya ketika ini dalam proses rundingan terakhir sebelum pemain itu menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua bulan ini.
“Ini adalah perancangan yang dibuat Kedah bagi memantapkan serta memperkasakan jentera serangan untuk menghadapi Liga Super dan aksi Piala Malaysia musim ini yang semakin sengit,” katanya pada sidang akhbar di Alor Setar semalam.
Rangel merupakan antara tiga penyerang import yang berada dalam radar skuad Helang Merah sebelum ini.
Dua lagi penyerang import itu ialah Sylvano Comvalius yang kini beraksi bersama kelab Suphanburi FC di Thailand dan pemain yang pernah bersama Kuantan FA berasal dari Montenegro, Zarko Korac.
Prestasi pemain import Kedah ketika ini iaitu Pablo Palares didapati kurang menyengat memaksa pengurusan membuat perancangan untuk mencari seorang penyerang yang mempunyai pengalaman dan memiliki keupayaan terbaik sebagai penjaring.
Syed Unan Mashri berkata, kehadiran penyerang import baharu itu diharapkan dapat menajamkan jentera serangan pasukan Kedah dalam usaha memburu kemenangan dalam setiap perlawanan.
“Saya percaya Rangel akan dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama skuad Helang Merah kerana beliau pernah beraksi dalam Liga Malaysia sebelum ini,” katanya.











