Kerajaan diharap terbuka kepada kritikan - Utusan Malaysia

Kerajaan diharap terbuka kepada kritikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Mei – Kerajaan di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad diharap dapat bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan secara rasional kerana perkara itu adalah sebahagian daripada norma negara demokrasi.

Selaras dengan pembentukan kerajaan baharu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berpendapat, pemimpin sekarang perlu berani berdepan dengan perubahan atmosfera politik di mana kritikan, perbezaan pendapat bahkan kontroversi adalah sebahagian daripada perjalanan politik.

“Begitu juga dengan penyokong dan ahli politik, mereka perlu tinggalkan budaya membuat laporan polis terhadap individu-individu yang mengkritik atau menghina melainkan kenyataan mereka itu diyakini boleh mengancam keselamatan negara atau berbaur hasutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Eric juga meminta kerajaan baharu memberi ruang dan menghormati kritikan rakyat termasuk pengguna media sosial.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tidak lagi ‘melayan’ laporan polis seumpama itu, sebaliknya menumpukan kepada kerja mereka.

Laporan polis itu, katanya, hanyalah ‘senjata’ bagi melindungi nama pemimpin yang terlibat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×