Pasaran kewangan kekal stabil - Utusan Malaysia

Pasaran kewangan kekal stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pasaran kewangan Malaysia kekal stabil dan teratur serta terus berfungsi secara berkesan dalam melancarkan aktiviti perantaraan dalam kalangan peserta pasaran.

Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia, Datuk Lee Kok Kwan berkata, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, secara keseluruhan, sentimen dan reaksi pelabur adalah positif.

“Sejak pasaran ringgit tempatan dibuka semula pada hari Isnin lalu, ringgit didagangkan hampir dengan harga daga­ngan terakhir sebelum PRU iaitu sekitar 3.95 selepas harga pembukaan awal sebanyak 3.97.

“Harga dagangan menandakan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap kerajaan Malaysia yang baharu,” kata­nya dalam satu kenyataan yang diterbitkan Bank Negara Malaysia (BNM) di sini semalam.

Sementara itu, Jawatankuasa Pasaran Kewangan berkata, pasaran pertukaran asing tempatan kekal aktif dengan mencatatkan jumlah dagangan ha­rian purata melebihi AS$15 bilion (RM59.3 bilion) selepas pilihan raya.

“Pasaran domestik utama lain termasuk bon kerajaan, bon korporat dan pasaran wang terbukti kekal mendapat soko­ngan pelabur, apabila Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) 7 tahun mencatat nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 3.4 kali pada pembukaan semula iaitu nisbah tertinggi pada tahun 2018 setakat ini.

“Perantaraan kewangan juga terus berjalan lancar, disokong oleh mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran,” katanya.

Ia menambah, asas-asas ekonomi Malaysia kekal teguh, diperkuatkan oleh lebihan akaun semasa, kedudukan rizab yang utuh, tahap keberhutangan luar negeri yang rendah dan permodalan sistem perbankan yang kukuh.

“Jawatankuasa Pasaran Kewangan akan terus memantau perkembangan tersebut dan bekerjasama dengan peserta pasaran kewangan, termasuk mengambil langkah-langkah proaktif untuk menangani sebarang bentuk naik turun yang mungkin timbul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×