KUALA LUMPUR 16 Mei – Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) mencatat untung sebelum cukai sebanyak RM29 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2018 berbanding RM28 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala hasil pula berjumlah RM618 juta.
Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, pencapaian suku pertama menunjukkan Pharmaniaga terus menjana nilai untuk pemegang saham walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar.
Katanya, ini berasaskan sumbangan kukuh daripada segmen perniagaan syarikat khususnya sektor perniagaan swasta yang mencatatkan pertumbuhan mantap dan usaha pengendalian operasi yang cemerlang dan langkah pengawalan kos yang efisien.
“Secara keseluruhan, kumpulan berada di landasan tepat selari dengan strategi perniagaan iaitu pertumbuhan yang didorong oleh pasaran dan penambahbaikan operasi secara berterusan serta memberi tumpuan memanfaatkan peluang dalam pasaran domestik dan antarabangsa menerusi tawaran produk baharu dipacu oleh usaha penyelidikan dan pembangunan.
“Di samping itu, kami juga melaksanakan inisiatif untuk mempertingkatkan rantaian nilai operasi bagi memberi impak positif dan mengoptimumkan kos dan produktiviti. Kami yakin menerusi strategi dua hala ini, ia membolehkan kami memanfaatkan prospek cerah dalam sektor penjagaan kesihatan dan mengekalkan momentum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bahagian logistik dan pengedaran mencatat prestasi lebih baik dengan untung sebelum cukai sebanyak RM10 juta berbanding RM2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya yang dicapai dengan perbelanjaan pemasaran dan promosi yang lebih bertumpu.
Bagi bahagian pengilangan pula, ia merekodkan untung sebelum cukai sebanyak RM20 juta, sedikit rendah daripada RM26 juta yang dilaporkan pada tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan oleh permintaan lebih rendah di bawah perniagaan konsesi dan juga perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan yang lebih tinggi.
Sementara itu, bahagian Indonesia mencatatkan defisit RM400,000 disebabkan oleh penyusutan nilai ringgit berbanding rupiah Indonesia dan peningkatan kos kewangan.










