SHAH ALAM – Kadar zakat fitrah di Selangor tahun ini kekal seperti tahun lalu iaitu RM7 seorang.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataan hari ini memberitahu, penentuan kadar zakat fitrah itu berdasarkan harga semasa bagi beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.
“Seramai 2,760 penolong amil fitrah telah dilantik di seluruh negeri sepanjang bulan Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat Islam membayar zakat fitrah berkenaan
“Pembayaran zakat juga boleh ditunaikan melalui penolong amil institut pengajian tinggi (IPT) di 14 buah IPT di seluruh Selangor,” katanya.
LZS turut menjelaskan sebanyak 27 cawangan di seluruh negeri akan dibuka selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini.
“Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
“Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang,” katanya. – K! ONLINE










