Pusat pembelajaran siap pada bulan Ramadan - Utusan Malaysia

Pusat pembelajaran siap pada bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELEMBUTAN dan kesabaran dalam mendidik murid-murid membuatkan Zainuddin Zakaria, 54, begitu kagum dengan arwah bapanya, Zakaria Abdullah yang merupakan seorang guru.

Zainuddin tidak pernah melihat bapanya memarahi pelajar begitu juga ketika mendidik mereka empat beradik.

Arwah bapanya yang merupakan bekas guru besar di sebuah sekolah di Alor Setar, Kedah juga mengamalkan konsep seperti di sekolah ketika mendidik anak-anak di rumah dengan membuat jadual dan memberikan markah. Anak ketiga daripada empat beradik itu turut mengikut jejak langkah bapanya untuk bergelar seorang guru.

Zainuddin yang bertugas sejak 24 tahun lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur merupakan guru mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Beliau selalu membawa anak-anaknya setiap kali mengajar kelas tambahan.

“Sejak kecil kami telah melihat ayah bekerja dan walaupun sibuk dia sentiasa mempunyai masa untuk diluangkan bersama kami,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di SMK Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hasil didikan bapanya telah menjadikan Zainuddin bukan calang-calang guru sehingga beliau meraih pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Antara anugerah yang dimenangi oleh anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu ialah Anugerah Guru Inovatif Microsoft Asia Pasifik sebanyak tiga kali ketika di Kuala Lumpur, Phuket, Thailand dan Auckland, New Zealand pada tahun 2009, 2011 dan 2012.

Selain itu, Guru Ikon Kebangsaan pada tahun 2013, Anugerah Princess Maha Chakri dari Thailand pada tahun 2015, Pingat Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2016 dan Anugerah Ikon Guru Inovatif Kebangsaan pada tahun 2017.

Bahasa Inggeris

Di samping itu, Zainuddin dilantik sebagai Microsoft Inovative Educator Expert oleh syarikat Microsoft pada tahun 2014 hingga sekarang.

Beliau turut mewakili Malaysia ke Persidangan Worldwide Innovative Teachers di Cape Town, Afrika Selatan pada tahun 2010 dan mengikuti Persidangan Microsoft Partners In Learning Global Forum di Washington D.C, Amerika Syarikat pada tahun 2011.

Ketika di Washington D.C., Amerika Syarikat, beliau mengetengahkan bahan inovasinya yang bertajuk Kodu In Classrooms Around The World dan telah memenangi tempat ketiga dalam kategori Cutting Edge Use Of Microsoft Technology For Learning.

Walaupun bapanya seorang guru tetapi beliau tidak pernah terfikir untuk memikul kerjaya sebagai cikgu kerana pada awalnya ingin menjadi arkitek.

“Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia, saya menerima dua tawaran untuk menyambung pengajian iaitu seni bina di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor dan biasiswa pengajian dalam Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Concordia, Montreal, Kanada.

“Atas nasihat ayah yang berpandangan guru-guru bahasa Inggeris sangat diperlukan pada masa akan datang, saya meneruskan pengajian dalam bidang TESL di Kanada selama empat tahun,” tuturnya yang berpegang kepada prinsip berani untuk menjadi yang berbeza.

Zainuddin memulakan perkhidmatan pertamanya di Sekolah Menengah All Saints, Sabah sebagai guru Bahasa Inggeris.

Selepas 11 tahun mengajar subjek Bahasa Inggeris, Zainuddin diberi tanggungjawab untuk mengajar ICT pada tahun 1999 apabila mata pelajaran itu buat pertama kalinya diperkenalkan di negara ini.

Beliau telah menambah baik pedagogi pengajaran dan pembelajaran dengan kaedah yang diciptanya bagi membantu murid-murid memperoleh kemahiran abad ke-21.

Zainuddin telah memulakan rangkaian kerjasama dengan sekolah-sekolah di 18 buah negara seperti Thailand, Indonesia, Korea, Australia dan Rusia bagi menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran berasaskan projek dalam mempromosikan kemahiran ICT, nilai, kepelbagaian budaya dan kemahiran kepimpinan.

Zainuddin sering dijemput untuk membantu bahagian-bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membangun silibus dan modul ICT serta membuat penilaian buku-buku teks.

“Sejak ICT diperkenalkan pada tahun 1999, saya telah menukar cara pembelajaran dan pengajaran.

“Dahulu guru masuk ke kelas dan mengajar manakala murid mendengar tetapi kini, cikgu menjadi pemudah cara.

“Oleh itu, saya memperkenalkan Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Abad Ke-21 pada tahun 2016 di SMK Taman Bukit Maluri,” terang bekas jurulatih pasukan bola sepak sekolah-sekolah di negeri Sabah itu.

Kepakarannya dalam bidang ICT turut digunakan untuk memudahkan guru-guru di sekolah tersebut untuk mengemaskini buku rekod mengajar menerusi inovasinya yang dikenali sebagai e-RePP.

Sistem yang menggunakan perisian Microsoft OneNote Staff Notebook melalui platform Microsoft Teams itu lebih sistematik.

Sepanjang tiga dekad bergelar guru, Zainuddin menyifatkan pembinaan Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Abad Ke-21 merupakan kenangan terindahnya.

Abad ke-21

Ia bukan sahaja menjadi tempat murid belajar tetapi melatih guru-guru untuk mengajar kemahiran abad ke-21. Pusat yang menggabungkan dua bilik darjah itu merupakan cetusan idea beliau dan dibantu oleh isterinya, Salmi Man, 54, iaitu pesara guru mata pelajaran Ekonomi.

Beliau membuat sendiri plan reka bentuk, konsep, mengecat dan mengguna kerusi kitar semula dengan membaik pulihnya.

Kecintaannya dalam bidang pendidikan membuatkan Zainuddin sanggup berkorban masa, tenaga dan wang.

Masih segar dalam ingatannya, beliau menghabiskan beberapa hari pada bulan Ramadan untuk menyiapkan pusat tersebut.

“Sekitar pukul 3 petang saya dan isteri memulakan kerja-kerja mengecat, membersih, membuat dekorasi dan memasang kelengkapan perabot.

“Beberapa kali kami berbuka puasa di sini sehinggalah ia siap,” katanya yang membelanjakan sebahagian wang sendiri untuk membangunkan Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Abad Ke-21 tersebut.

Tambahnya, pusat tersebut menekankan enam kemahiran iaitu kolaborasi, pembinaan pengetahuan, pengaturan sendiri, penyelesaian masalah sebenar dunia dan inovasi, penggunaan ICT untuk pembelajaran dan komunikasi secara mahir.

Di pusat tersebut murid boleh membuat aktiviti secara santai, menyelesaikan masalah bersama ahli kumpulan dan berkomunikasi dengan pelajar dari luar negara menerusi Skype.

Mengulas mengenai cabaran, Zainuddin berpendapat, para pendidik hari ini perlu ke hadapan dalam hal-hal berkaitan dengan teknologi.

Ia berikutan pelajar sekarang merupakan warga digital manakala guru-guru pula kebanyakannya digital imigran.

“Murid sekarang tidak seperti dahulu, mereka sangat aktif dan tidak suka duduk di dalam kelas serta mendengar guru mengajar.

“Kita perlu memberi mereka peluang untuk mengetengahkan idea masing-masing,” jelasnya yang mengajar pelajar tingkatan empat dan lima.

Dek kerana minatnya dalam bidang ICT, Zainuddin yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang tersebut berjaya menghasilkan 15 buah buku berkaitan dengannya.

Zainuddin mengambil masa tiga tahun untuk mempelajari bidang ICT bagi memahirkan diri sebelum menyampaikan ilmu tersebut kepada para pelajar.

Berbicara mengenai perancangan masa hadapan, Zainuddin memberitahu, beliau akan meneruskan projek-projek kerjasama dengan institusi pendidikan dan guru-guru di seluruh dunia terutama

Sebagai penerima Anugerah Princess Maha Cakri, beliau berasa amat bertanggungjawab untuk memperbaiki sistem pendidikan terutamanya di kawasan miskin dan pedalaman di Negara-Negara Asia Tenggara.

Sepanjang tiga dekad bergelar guru, Zainuddin menyifatkan pembinaan Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Abad ke-21 merupakan kenangan terindahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×