Nafi berlaku lambakan PATI di Sabah - Utusan Malaysia

Nafi berlaku lambakan PATI di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTATAN 15 Mei – Kerajaan negeri menafikan akan berlaku lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah menerusi peralihan kerajaan yang kini diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dakwaan berhubung Sabah bakal berhadapan kebanjiran PATI sama ada yang memiliki permit kerja dan kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) adalah tidak berasas.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan negeri yang sedang dibentuk akan memberi fokus kepada urus tadbir yang baik selain akan membantu semua rakyat secara menyeluruh.

“Kenyataan remeh yang dilontarkan itu hanyalah berbaurkan isu perkauman bagi menjatuhkan kerajaan baharu selain dengan niat ingin merosakkan reputasi kepimpinan beliau.

“Saya tidak akan balas dakwaan itu. Banyak lagi isu yang penting perlu saya lakukan untuk mentadbir negeri ini dengan menolong fakir miskin dan membangunkan negeri ini daripada melayan kenyataan remeh itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Majlis Ru’yah Hilal Rasmi Ramadhan di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan.

Semalam, Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan mendakwa kemenangan Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah berita baik buat semua PATI di Sabah.

Jeffrey mendakwa bahawa pentabiran Warisan mampu memudahkan lagi laluan kemasukkan pendatang haram untuk mendapat permit kerja serta pengenalan diri (Mykad).

Sementara itu, Mohd. Shafie yang juga Presiden Warisan menyifatkan Majlis Ru’yah Hilal Rasmi Ramadhan mampu menjadi platfrom sebagai jambatan penyatuan umat islam sekali gus mampu mengukuhkan lagi silaturrahim sesama umat.

“Ini merupakan satu amalan yg dituntut dalam Agama Islam supaya kita dapat membimbing umat di jalan yang betul.

“Saya berharap agar majlis ini dapat membimbing Umat Islam berpandukan jalan yang betul,”katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×