MELAKA – Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, Ketua Menteri Melaka yang baharu, Adly Zahari berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan laporan yang tular dalam media sosial yang mengaitkannya dengan ajaran Syiah adalah tidak benar.
“Saya sebagai mufti kerajaan negeri telah bertemu sendiri dengan Ketua Menteri Melaka itu berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan ajaran Syiah dan setelah mendapatkan keterangan yang jelas daripadanya, saya berpuas hati,” katanya.
Abdul Halim berkata, menerusi perjumpaan itu, Adly menegaskan beliau dididik dan dibesarkan serta berpegang pada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan Al-Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas.
Beliau berkata, Adly juga berpegang kepada prinsip akidah Al-Asyairiyah, Al-Mathuridiyyah, Fiqh Syafi’eyah dan Taswauf Ahlak Imam Al-Ghazali.
“Berkaitan gambar yang ditularkan di media sosial yang mengaitkan beliau dengan pengikut Syiah, Adly menjelaskan bahawa gambar itu diambil ketika beliau mengadakan lawatan ke beberapa negara Timur Tengah beberapa tahun lepas,” katanya. – Bernama










