KUALA LUMPUR 15 Mei – Pas berharap pimpinan negara Islam tidak bersikap dingin dan pengecut dalam menghadapi tindakan Israel serta Amerika Syarikat (AS) yang tidak menghormati hak penduduk Palestin selain membunuh mereka tanpa perikemanusiaan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam mesti bangkit secara menyeluruh mempertahankan Baitulmuqaddis dengan segala pengorbanan.
“Kita mendoakan supaya Allah menetapkan pendirian rakyat Palestin dan tidak akan menyerah kalah walaupun sikap negara-negara Arab mengecewakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Abdul Hadi, tindakan AS memindahkan pejabat kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis adalah sejarah hitam penguasaan Israel terhadap bumi Palestin.
Katanya, perkara ini berlaku ketika negara Islam mengikut telunjuk AS yang mencetuskan perbezaan mazhab dan kaum bagi memecahbelahkan kesatuan umat Islam serta mengalihkan tumpuan daripada memperjuangkan pembebasan Palestin.
“Pas bersama seluruh umat Islam memikul tanggungjawab berat untuk mempertahankan Baitulmuqaddis dan membela nasib rakyat Palestin,” ujarnya. UTUSAN ONLINE










