Fahaman Syiah: Mufti Melaka puas hati dengan penjelasan Adly - Utusan Malaysia

Fahaman Syiah: Mufti Melaka puas hati dengan penjelasan Adly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 15 Mei – Mufti kerajaan negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan yang diberikan Ketua Menteri, Adly Zahari berhubung isu yang tular dalam laman sosial mengaitkan dirinya sebagai pengikut Syiah.


Abdul Halim berkata, penjelasan yang diberikan berkaitan gambar yang ditularkan adalah gambar yang diambil semasa Adly berada di luar negara di Iraq ketika mengadakan sesi lawatan ke beberapa buah negara Asia Barat beberapa tahun lalu.


Menurutnya, kutipan kata hikmah yang dinukilkan dalam laman sosial adalah kata-kata yang mempunyai mesej dan makna yang baik untuk dijadikan sebagai motivasi bagi dikongsikan.


Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau (Adly) menegaskan bahawa beliau dididik dan dibesarkan serta amalan serta pegangan beliau adalah berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan kepada al-Quran, hadith, ijmak dan qiyas.


“Beliau berpegang prinsip aqidah al-Asyairiyah dan al-Mathuridiyyah, fiqh Syafi’eyah dan tasawuf akhlak imam Al-Ghazali,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani.


Semalam, Adly telah menyatakan statusnya yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah serta berharap supaya isu tersebut tidak akan dibangkitkan lagi pada masa hadapan.


Sehubungan itu, Abdul Halim menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara di media sosial dan elektronik atau pengucapan awam agar apa yang disampaikan tidak menimbulkan kontroversi serta menjadi polemik masyarakat.


“Dalam masa yang sama, kita hendaklah sentiasa mengamalkan kaedah bertabayyun (menyelidik dan mengkaji) dalam semua perkara sebelum kita menyebarkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan pasti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×