Mancini jurulatih baharu Itali - Utusan Malaysia

Mancini jurulatih baharu Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME 15 Mei – Selepas enam bulan kecewa ekoran gagal ke pentas Piala Dunia, bekas pengurus Manchester City dan Inter Milan Roberto Mancini hari ini dilantik sebagai pengendali Itali dalam usaha mengubah nasib skuad itu.

Juara dunia empat kali itu sebelum ini tidak memiliki sebarang jurulatih tetap sejak Gian Piero Ventura dipecat susulan kegagalan mereka menempah tiket ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

Pesuruhjaya Persatuan Bola Sepak Itali, Roberto Fabbricini berkata, Mancini menunjukkan minat mendalam untuk menjadi jurulatih baharu Itali, dengan sidang akhbar berhubung perlantikan tersebut bakal diadakan petang ini di pusat latihan pasukan kebangsaan di Coverciano, Florence.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia berlaku seperti yang kita harapkan, kami gembira dan begitu juga Roberto. Kami akan jelaskan secara menyeluruh tentang kontrak itu,” katanya selepas kontrak itu ditandatangani di Rome.

Tugas Mancini adalah termasuk membentuk dan membawa Itali ke Kejuaraan Eropah 2020 dengan perlawanan pertama kendaliannya adalah aksi persahabatan menentang Arab Saudi di Switzerland 28 Mei ini.

Pengendali berusia 54 tahun itu pernah membawa Manchester City menjulang gelaran Inggeris pertama selepas 44 tahun pada 2012, menjuarai tiga gelaran Serie A dengan Inter Milan.

Dia juga pernah menjulang Piala Itali bersama Inter, Fiorentina dan Lazio.

Terdahulu, pengurus Chelsea Antonio Conte dan bekas jurulatih Bayern Munich Carlo Ancelotti dikaitkan dengan tawaran untuk mengemudi Itali, namun Ancelotti dilaporkan menolak tawaran itu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×