BAITULMUQADDIS – Amerika Syarikat (AS) membuka kedutaan kontroversi di Baitulmuqaddis semalam tetapi acara perasmian itu dicemari oleh pertempuran ganas di sepanjang sempadan Gaza yang menyebabkan 43 orang rakyat Palestin terkorban akibat dibedil tentera Israel pada hari paling berdarah dalam konflik itu selama bertahun-tahun.
Pemberontakan yang menyebabkan beratus-ratus rakyat Palestin cedera itu meletus sebelum delegasi White House dan pihak berkuasa Israel membuka kedutaan itu dalam upacara perasmian di Baitulmuqaddis dan ia berterusan sepanjang hari.
Ia adalah hari paling berdarah dalam konflik Israel-Palestin sejak perang Gaza pada tahun 2014.
Antara mangsa yang terbunuh termasuklah seorang remaja lelaki berumur 14 tahun, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, yang turut memberikan angka kematian menyeluruh.
Terdahulu, kedutaan sementara AS itu telah dirasmikan oleh anak perempuan Donald Trump iaitu Ivanka Trump yang juga merupakan penasihat kanan White House di hadapan kira-kira 800 orang tetamu termasuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. – AFP









