MDPP mula tangkap lembu berkeliaran - Utusan Malaysia

MDPP mula tangkap lembu berkeliaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 14 Mei – Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) memandang serius keluhan penduduk mengenai haiwan ternakan yang berkeliaran di kawasan awam dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Peraturan Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengatasi masalah itu.

Setiausaha MDPP, Ahmad Shargowi Derahman berkata, berdasarkan maklumat orang awam yang diterima dari dari semasa ke semasa, pihaknya sedang menjalankan operasi menangkap haiwan berkeliaran tersebut.

Menurutnya, seramai 13 anggota penguatkuasa MDPP dike­tuai Saiful Zaman Mansor telah menjalankan tanggungjawab me­lakukan tangkapan yang melibatkan lembu yang terbiar tanpa seliaan pemiliknya.

“Kami bertindak selepas me­nerima aduan awam mengenai berpuluh-puluh ekor lembu mema­suki kawasan Pejabat Pen­dafta­ran Negara di Jalan Bypass baru-baru ini dan berjaya menangkap empat ekor lembu.

“Kompaun dikenakan kepada pemilik ketika mereka membuat tuntutan semula. MDPP berharap tindakan itu memberi kesedaran kepada pemilik supaya tidak membiarkan ternakan menceroboh ke kawasan pejabat kerajaan atau berkeliaran di jalan raya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Shargowi berkata, mengikut Peraturan Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-rayau, pemilik ternakan boleh didenda sehingga RM500 untuk seekor lembu yang berjaya ditangkap pihak berkuasa.

Sementara itu, penduduk, Mohd. Hasbullah Ismail, 44, berkata, tindakan sedemikian perlu dilaksanakan secara berte­rusan bagi memastikan kawasan bandar dan pekan bebas dari haiwan ternakan yang sengaja dilepaskan oleh pemiliknya.

“Saya amat bersetuju dengan tindakan MDPP kerana ia memberi pengajaran kepada pemilik haiwan ternakan yang terbabit,” katanya.

Mohd. Hasbullah juga memberitahu, MDPP juga diminta mengatasi masalah kira-kira 30 ekor kerbau yang berkeliaran di beberapa lokasi di sekitar bandar ini termasuk berhampiran Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh dan jalan utama Pasir Puteh ke Tok Bali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×