Pulau Pinang disaran lantik 5 Exco Melayu - Utusan Malaysia

Pulau Pinang disaran lantik 5 Exco Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 14 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang disaran merealisasikan pentad­bi­ran ber­­kon­­sepkan wajah Malaysia baharu dengan melantik sekurang-kurangnya lima Exco Melayu bagi mengimbangi kedudukan geopolitik di negeri ini.

Rahmad Isahak

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, mandat yang diterjemahkan oleh pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah di luar jangkaan sehingga menyaksikan penambahan kerusi wakil Melayu dalam kalangan komponen Pakatan Harapan. 

Menurut beliau, mandat itu perlu dipandang serius dari sudut penglibatan orang Melayu melalui pentadbiran kerajaan negeri.

“Saranan bagi melantik lima Exco Melayu termasuk jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 amat bersesuaian bagi tujuan mengurus tadbir dalam mempertahankan soal kedudukan Melayu dan Islam di negeri ini seperti mana mengikut kehendak perkara 153 Perlembagaan Persekutuan” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Keputusan PRU-14 di Pulau Pinang menyaksikan penambahan kerusi kepada 14 wakil rakyat Melayu iaitu lapan daripada PKR dan masing-masing dua daripada DAP; Parti Amanah Rakyat (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Melayu (PPBM).

Mereka merupakan sebahagian daripada 37 ADUN Pakatan Harapan Pulau Pinang yang memenangi kerusi dalam PRU-14.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, barisan pembangkang walaupun bilangannya semakin mengecil iaitu hanya tiga kerusi namun perlu tetap berani menjadi suara kepada rakyat.

Menurutnya, tiga wakil rakyat pembangkang itu juga perlu terus membangkitkan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat se­suai dengan mandat yang diberikan pengundi di kawasan diwakili mereka.

Tiga wakil rakyat pembangkang dalam DUN Pulau Pinang itu masing-masing dua dari UMNO iaitu ADUN Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman dan ADUN Sungai Dua, Datuk Muhammad Yusoff Mohd. Noor.

Seorang lagi ialah wakil Pas iaitu ADUN Penaga, Mohd. Yusri Mat Piah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×