KLANG 14 Mei – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam istiadat yang berlangsung di Istana Alam Shah di sini petang ini dihadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ahli Exco terbabit ialah empat daripada PKR, tiga daripada DAP, dua daripada PAN dan satu daripada PPBM.
ADUN PKR yang mengangkat sumpah dan satu-satunya kekal sebagai Exco ialah Amiruddin Shari (Sungai Tua) dan tiga muka baharu yang dilantik ialah Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Shaharuddin Badaruddin (Seri Setia) dan Hee Loy Sian (Kajang).
Bagi ADUN DAP pula dua wakil rakyat kekal menjadi Exco iaitu Datuk Teng Chang Kim (Bandar Baru Klang) dan V. Ganabatirau (Kota Kemuning) serta muka baharu Ng Sze Han (Kinrara).
Sementara itu, bagi ADUN PAN pula, bekas Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang) dan Izham Hashim (Pandan Indah), manakala mewakili PPBM, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Kelang).
Yang hadir sama mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.-UTUSAN ONLINE










