IPOH 14 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan Perak tidak berhasrat untuk memansuhkan program yang memberi manfaat kepada rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara baik yang dilakukan oleh pentadbiran lepas seperti program bantuan untuk rakyat kurang berkemampuan menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU) akan diteruskan.
Menurutnya, malah program terdahulu akan ditambah baik jika ada ada ruang untuk ia diperbaiki.
“Fokus utama saya ialah untuk menunaikan tangungjawab parti melalui manifesto yang telah dijanjikan dalam PRU-14.
“Tawaran-tawaran dalam manifesto PRU-14 akan dibincangkan dengan pegawai tinggi kerajaan negeri untuk kita menyempurnakan janji tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengenai pelantikan exco kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan.
Beliau berkata, proses berkenaan akan dilakukan secepat mungkin untuk nama-nama calon exco dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Senarai exco saya akan cuba buat dalam minggu ini. Komposisinya masih dalam perbincangan namun anda boleh menjangkakannya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti komponen.
“Jumlah jawatankuasanya tidak banyak beza iaitu 10 seperti sebelum ini,” katanya.
Ahmad Faizal meminta semua pihak sama ada parti pembangkang atau kerajaan supaya berhenti daripada berpoltik.
“Semua pihak harus berfikir untuk membangunkan negeri dan membantu rakyat yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










