PUTRAJAYA 14 Mei – Penerbit syarikat produksi JS Pictures, Sheila Rusly, 47, akui berasa amat kecewa dengan pengurusan Syafiq Kyle kerana gagal memberikan komitmen yang telah dijanjikan sejak Mac lalu bagi membintangi telefilem raya, Dekatkan Jarak Kita.
Disebabkan hal itu, Sheila akui pembikinan telefilem berkenaan terpaksa dibatalkan walaupun kerja-kerja praproduksi telah siap dilaksanakan.
“Semuanya dah siap sedia termasuk skrip, kru teknikal, barisan pelakon dan lokasi. Malangnya, apabila penggambaran hendak dimulakan, tiba-tiba wakil pengurusan Syafiq beritahu bahawa pelakon lelaki itu terlibat dengan produksi drama lain.
“Sedangkan, saya dah maklumkan awal kepada mereka bagi memastikan segalanya berjalan lancar. Tetapi akhirnya jadi begini, memang saya kecewa,” katanya kepada Utusan Online.
Tambah Sheila, dia tiada niat untuk mengaibkan sesiapa, namun tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya.
Sheila berkata demikian ketika ditemui selepas syarikat produksinya berjaya memenangi kategori Drama Pilihan dalam penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2018).
Selain Syafiq, siri Dekatkan Jarak Kita turut dibintangi Ayda Jebat yang menyaksikan gandingan tersebut dinobatkan sebagai Pasangan Pilihan.
Sementara itu, wakil pengurusan Syafiq ketika mengulas mengenai insiden tersebut menjelaskan bahawa pihak TV3 sendiri yang meminta agar pelakon berkenaan membabitkan diri dalam drama bersiri Nur untuk siaran Ramadan nanti.
“Oleh kerana itu, saya sebagai pengurusnya akur dengan permintaan TV3 yang juga merupakan penyiar drama Dekatkan Jarak Kita.
“Saya tidak mahu ulas secara lanjut berhubung permasalahan ini dan lebih baik jika wakil TV3 yang menjawabnya,” ujar pengurus yang dikenali sebagai Shawn Amer itu. – UTUSAN ONLINE










