Segovia puas Selangor ikat JDT - Utusan Malaysia

Segovia puas Selangor ikat JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYERANG import Selangor, Rufino Segovia akui pemain berdepan faktor keletihan pada separuh masa kedua memaksa mereka sekadar terikat seri 2-2 ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Dalam aksi tersebut, pemain yang per­nah beraksi bersama Atletico Madrid itu menyumbat gol kedua buat Selangor berselang dua minit selepas jaringan pertama mereka diperoleh hasil sentuhan kapten pasukan, Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-14.

Pemain berusia 33 tahun itu tetap gembira dengan aksi ketika berdepan pasukan pendahulu liga tersebut walaupun keputusannya bukanlah seperti yang diimpikan.

“Kami turun pada malam ini (kelmarin) untuk mencipta kemenangan tetapi sedikit kesilapan telah memaksa pasukan untuk menerima keputusan seri tersebut.

“Pada separuh masa kedua, pemain agak letih dan ia telah memberikan ke­lebihan kepada JDT yang mempunyai ramai pemain bagus dan berpengalaman.

“Walaupun kami telah berjaya me­lakukan kebangkitan selepas JDT mendapat gol awal menerusi jaringan Gonzalo Cabrera tetapi usaha kami untuk mencari gol kemenangan terus disekat pasukan pelawat,” katanya.

Bagaimanapun, Segovia berharap aksi cemerlang yang dipamerkan semua pemain itu dapat diteruskan menjelang pertemuan yang akan datang kerana saingan Liga Super masih panjang.

“Kami telah cuba untuk menyempurnakan segala peluang yang ada, namun nasib tidak menyebelahi Selangor bagi memperoleh kemenangan ketika ber­aksi di hadapan penyokong sendiri.

“Namun, saya merasakan pemain telah bermain dengan penuh yakin berbanding aksi di Larkin dan mengharapkan semua pemain dapat mengekalkan momentum tersebut bagi berdepan pertemuan seterusnya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×