KUALA LUMPUR 13 Mei – Negeri Sembilan masih gagal mengubah nasib mereka meskipun sudah mendapatkan jurulatih baharu dari Portugal berikutan skuad kendalian Mario Lemos tumpas 1-2 kepada Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Lemos menggantikan Azraai Khor Abdullah selepas kontraknya ditamatkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Jumaat lalu.
Pasukan pelawat berada di depan seawal minit kelapan menerusi jaringan Liridon Krasniqi sebelum Akhyar Rashid menggandakan jaringan pada minit ke-17. Gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh Flavio Junior pada minit ke-76.
Di Stadium Shah Alam menyaksikan PKNS FC menewaskan Kuala Lumpur 3-2. Gol PKNS FC masing-masing dijaringkan oleh Safee Sali pada minit ketujuh, Faris Ramli minit ke-37 dan Jonatan Acosta minit ke-50.
Dua gol pelawat dijaringkan oleh Bobirjon Akbarov pada minit kelima dan Guilherme de Paula minit ke-90.
Satu aksi Liga Perdana turut berlangsung hari ini menyaksikan Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Sarawak di Stadium Negeri, Batu Kawan. – UTUSAN ONLINE










