IPOH 13 Mei – Ahmad Faizal Azumu mengakui terharu apabila bekas ‘bos’ beliau, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hadir dan memberi kata-kata semangat kepadanya dalam majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak semalam.
Menurut Ahmad Faizal, beliau tetap menghormati Zambry yang merupakan bekas ketuanya dalam Pemuda UMNO biarpun mereka kini tidak lagi di bawah satu parti.
Anak jati Ipoh dan dibesarkan di Manjoi itu terharu apabila Pengerusi BN Perak itu hadir dalam majlis angkat sumpah yang berlangsung di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.
“Alhamdulillah, peralihan kuasa di Perak berlangsung dengan baik dan harmoni, maka saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih kepada barisan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Perak yang diterajui Zambry.
“Saya terharu dengan kehadiran beliau dalam Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, malah beliau juga memberikan kata semangat dan menyatakan kesediaan untuk dihubungi bila-bila masa sekiranya saya perlukan nasihat atau bantuan,” katanya di sini hari ini.
Berhubung barisan Exco kerajaan negeri, Ahmad Faizal berkata, beliau akan mengumumkan perkara tersebut seawal minggu hadapan.
Menurutnya, dia akan memanggil semua Pengerusi parti komponen Pakatan Harapan bagi membincangkan pembahagian dan pemilihan calon yang sesuai bagi mengisi barisan Exco kerajaan negeri.
“Setelah kata sepakat dicapai, barisan Exco tersebut akan disembah maklum kepada Sultan Perak untuk mendapatkan perkenan,” katanya.










