Ku Abdul Rahman galas tugas pembangkang - Utusan Malaysia

Ku Abdul Rahman galas tugas pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 12 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail bersedia untuk menggalas tugas sebagai pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

KU ABDUL RAHMAN KU ISMAIL

Bagaimanapun, bekas Penge­rusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi itu mengakui beliau akan menggalas cabaran besar sebagai pembangkang apabila Barisan Nasional (BN) hanya menang tiga daripada 36 kerusi DUN.

“Daripada 36 kerusi, kita menang tiga dan ini cabaran besar untuk kita. Kita kena terima qada dan qadar yang telah ditentukan Allah dan saya yakin ada hikmahnya.

“Kita kena sentiasa bersedia, mesti ada sebab kenapa Allah takdirkan saya dan dua lagi rakan daripada BN menang,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selain Ku Abdul Rahman, BN turut menang dua lagi kerusi DUN di Kedah iaitu DUN Sungai Tiang (Datuk Suraya Yaacob) dan DUN Bandar Baharu (Datuk Noor Sabrina Mohd. Noor).

Pe­nge­rusi Pakatan Harapan (PH) nege­ri, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Besar setelah Pakatan Harapan memperoleh 18 kerusi daripada 36 kerusi DUN pada PRU-14.

Menurut Ku Abdul Rahman, sebelum ini pada PRU-12 beliau juga pernah bergelar wakil pembangkang di dalam DUN Kedah di mana ketika itu BN kalah di lima buah negeri termasuk Kedah.

“Ketika itu, saya masuk politik sahaja terus jadi pembangkang, kemudian PRU-13 BN menang balik negeri ini dan barulah saya dilantik menjadi Exco,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak timbul soal beliau mahu melompat parti memandangkan beliau setia kepada UMNO.

“Saya masih setia pada parti, masa se­nang dengan parti, masa susah tinggalkan, kita tak boleh macam itu,” katanya.

Tambah beliau, apa yang pen­ting untuk dilakukan pada masa ini ialah bagaimana untuk membuatkan UMNO bangkit semula menjadi sebuah parti yang kukuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×