Elemen al-Quran sebagai panduan - Utusan Malaysia

Elemen al-Quran sebagai panduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyeru semua umat Islam agar menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam menghadapi perbezaan pendapat antara kaum dan agama.

Titah Sri Paduka, elemen-elemen seperti keadilan, toleransi, diplomasi dan persefahaman yang diajar oleh al-Quran perlu diberi penekanan dalam proses tersebut.

“Al-Quran juga telah membawa bersama prinsip-prinsip asas dalam mengatur kehidupan manusia selari dengan keperluan fitrah manusia itu sendiri.

“Dalam konteks negara kita Malaysia, ideologi negara merupakan satu bentuk identiti dan nilai bersama yang perlu dipegang oleh seluruh rakyat,” titah Sri Paduka.

Sultan Muhammad V bertitah demikian ketika berkenan mengisytiharkan penutupan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-60 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Titah Sri Paduka lagi, umat Islam perlu terus komited dan tetapkan hati untuk mengangkat dan menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan yang paling utama dalam kehidupan.

“Sesungguhnya rahmat dan hidayah Allah SWT akan sentiasa mewarnai hidup kita andai kita terus mengangkat dan meninggikan kalimah Allah SWT, insya-Allah,” titah Sri Paduka.

Majlis yang berlangsung selama empat hari bermula pada 7 Mei lalu tersebut melibatkan seramai 36 peserta tilawah al-Quran dan 25 orang bagi kategori Hafazan al-Quran dari pelbagai negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×