RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan terpaksa menerima hakikat gagal meraih pingat emas acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia disebabkan kesilapan teknikal.
Sebaliknya, Khairul, 19, sekadar menamatkan aksi final 100m di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam di tempat kelima dengan catatan masa tidak memberangsangkan iaitu 10.64 saat (s).
Apa tidaknya, catatan itu dianggap pencapaian buruk buat Khairul kerana ia terlalu jauh jika dibandingkan rekod kebangsaan miliknya 10.18s yang dilakukan pada 2016 serta catatan tahunan terbaiknya tahun ini iaitu 10.34s.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu mendakwa, kegagalan tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disedari pegawai bertugas pada blok pelepasan ketika memulakan perlumbaan selain terpaksa menunggu hampir dua jam kerana hujan lebat sebelum final tersebut.
“Terang-terang saya nampak pelari lorong kelima (Vinoj Suranjaya De Silva dari Sri Lanka) keluar terlebih dahulu tetapi pegawai false start tidak dapat mengesan tindakannya. Disebabkan itu saya lambat untuk mengejar dia.
“Saya memang tidak berpuas hati dan geram kerana saya merasakan boleh melakukan catatan masa lebih baik lagi. Namun, apa boleh buat, keputusan sudah keluar dan saya tiada rezeki hari ini (semalam).
“Macam-macam tragedi berlaku seperti terpaksa menunggu lama sebelum berlari final tadi. Saya anggap ini satu pengalaman baharu untuk diri saya,” katanya selepas tamat aksi final 100m semalam.
Atlet dari Sri Lanka itu berjaya meraih pingat emas dengan catatan masa 10.27s sekali gus memperbaharui rekod kejohanan 10.30s yang dilakukan Watson Nyambek pada 1998.
Tempat kedua dan ketiga menjadi milik dua pelari kuartet 4x100m negara, Jonathan Nyepa (10.40s) serta Muhammad Haiqal Hanafi (10.58s).
Sementara itu, ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli menepati ramalan apabila mudah meraih pingat emas 100m dengan catatan masa 10.65s.
Pingat perak dimenangi atlet Sri Lanka, R. M. Rumeshika Rathnayake dan tempat ketiga menjadi milik S. Shally Komalam.










