MARANG – Pas menawarkan penubuhan kerajaan perpaduan iaitu sebuah kerajaan tanpa pembangkang yang dianggotai oleh semua parti politik di negeri Perak.
Keputusan tersebut diputuskan selepas satu mesyuarat khas diadakan oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila di sini hari ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perpaduan di Perak boleh ditubuhkan dengan syarat ia harus dipimpin oleh seorang ketua yang beragama Islam.
“Pas menawarkan penubuhan kerajaan perpaduan yang dianggotai oleh semua parti politik iaitu Pas, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan syarat kerajaan perpaduan itu dipimpin oleh seorang Islam yang dipersetujui oleh majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Manakala barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga mestilah majoritinya daripada kalangan ADUN yang beragama Islam,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Setakat ini, parti politik yang bertanding di Perak tidak dapat menubuhkan kerajaan negeri kerana tiada pihak berjaya mendapat majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Perak yang mempunyai 59 kerusi DUN menyaksikan PH menang 29, BN (27) dan Pas (3).
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri di Perak adalah 30 kerusi. – K! ONLINE










