LONDON – Lebih separuh daripada rakyat Britain percaya pelarian perlu mendapatkan sokongan yang lebih besar daripada kerajaan, menurut satu kajian baru yang diterbitkan semalam.
Simpati terhadap pelarian telah meningkat, dengan 38 peratus responden terhadap undian Indeks Kemanusiaan Aurora menyatakan perasaan sesal kerana Britain tidak cukup membantu mereka, berbanding 27 peratus pada tahun 2017.
Lebih 52 peratus responden pula berkata, sokongan yang lebih besar harus diberikan kepada golongan pelarian.
“Sungguh menggembirakan apabila sikap nasionalis terhadap pelarian semakin berkurangan di Britain.
“Sudah tentu, Britain menerima jumlah pelarian yang jauh lebih sedikit berbanding tempat lain dan persoalannya ialah, sejauh mana tindakan itu membawa kepada tindakan untuk bersikap lebih terbuka. Ia hanya akan menjadi lebih bermakna sekiranya diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan,” kata pengasas bersama Inisiatif Kemanusiaan Aurora, Ruben Vardanyan.
Kesatuan Eropah memberi suaka kepada lebih setengah juta orang pelarian pada tahun 2017, menurut pejabat statistik Eurostat, dengan Jerman mengambil lebih daripada 60 peratus daripadanya. Kebanyakan pelarian berasal dari Syria, Afghanistan dan Iraq.
Peningkatan sifat belas kasihan kepada pelarian boleh dikaitkan dengan sikap lebih terbuka pasca Brexit, serta kesan skandal Windrush terhadap layanan rakyat Britain kepada pendatang Caribbean, menurut pasukan data di sebalik indeks tersebut.
Penganalisis berkata, tidak mengejutkan apabila sentimen itu beralih memihak kepada golongan pelarian, tetapi memberi amaran ia juga boleh berubah dengan cepat. – Reuters










