PELUMBA sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah memahami tekanan yang dialami rakan senegara, Zulfahmi Khairuddin selepas membuat keputusan mengejut meninggalkan saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Selasa lalu.
Zulfahmi yang menggantikan Hafizh saat-saat akhir bagi kategori Moto2 terpaksa meninggalkan saingan dunia itu selepas bergelut untuk meraih keputusan terbaik pada empat perlumbaan lalu.
Mengulas lanjut, Hafizh memahami kesulitan yang dialami pelumba SIC Racing Team tersebut dan menegaskan, bagi mencapai kejayaan dalam kelas Moto2 itu, ia tidak datang bergolek sekelip mata, sebaliknya perlu melalui proses pembelajaran yang panjang.
Sebelum menjejakkan kaki ke saingan dunia, Hafizh menjalani perlumbaan dua musim pada Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia CEV sebelum diangkat menyertai perlumbaan sebanyak empat musim pada saingan Moto2.
“Secara jujur, untuk berada pada tahap terbaik saingan Moto2 bukan mudah. Ia bukan seperti kita naik jentera dan terus melakar kemenangan. Pada perlumbaan Moto2, semua pasukan menggunakan enjin yang sama dan terdapat perbezaan pada casis sahaja.
“Selain itu, ia bergantung pada individu itu sendiri untuk menyesuaikan diri pada litar dan jentera. Jadi, ia perlukan masa. Saya tidak terus ke saingan MotoGP malah saya memulakan perlumbaan 600cc di Australia.
“Kemudian, selepas beberapa perlumbaan atas tiket wildcard pada MotoGP, saya diberikan peluang untuk beraksi dalam kelas berkenaan selama empat musim secara penuh.
“Tambahan pula, tahap pelumba Eropah dalam kelas Moto2 sangat berlainan dan jauh lebih tinggi. Kehidupan seharian mereka hanya untuk perlumbaan.
“Kamu perlu mengenali semua kru dalam pasukan tersebut dengan baik untuk memastikan kamu selesa mengemudi jentera. Namun, Zulfahmi tidak berkesempatan berbuat hal tersebut kerana dia pengganti saya pada saat-saat akhir,” kata Hafizh semalam.
Dalam pada itu, Hafizh turut mengakui ketika ini dia tidak melihat calon pengganti terbaik untuk mengisi kekosongan tersebut.
“Mungkin Azlan Shah Kamaruzaman lebih layak bersama pasukan ini kerana dia mempunyai pengalaman dalam Moto2 tetapi buat masa ini dia terikat dengan kontrak bersama Kawasaki.
“Selain itu, kita juga mempunyai kekangan untuk membuat pilihan kerana kita tidak mempunyai pelumba Malaysia berlumba dalam kelas Moto2 pada CEV dan jika ada, ia mungkin menjadi pilihan sesuai,” ujarnya.










