TUN Dr. Mahathir Mohamad mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua malam tadi susulan kemenangan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Beliau yang memakai baju Melayu hitam dan bersamping songket hitam keemasan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara pada pukul 9.55 malam tadi.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan Mahathir sebelum ini menimbulkan pelbagai spekulasi selepas beliau gagal berbuat demikian pada pagi semalam. Upacara itu kemudian dikatakan ditunda pada sebelah petang sebelum akhirnya menjadi kenyataan malam tadi.
Berumur 92 tahun, Mahathir merupakan Perdana Menteri tertua di dunia ketika ini. Beliau kembali ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun bersara daripada politik.
Pada PRU-14 yang berlangsung kelmarin, Pakatan Harapan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
Mahathir yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi Parlimen Langkawi dengan majoriti 8,893 undi menewaskan calon Barisan Nasional dan Pas.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi mengucapkan tahniah kepada Dr. Mahathir atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh. Najib turut menyatakan kesediaan beliau untuk membantu proses peralihan kerajaan baharu.










