PUTRAJAYA 10 Mei – Sejuta pengunjung dijangka memeriahkan Festival Ramadan Putrajaya 2018 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) yang akan bermula pada 17 Mei hingga 14 Jun ini.
Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, festival tersebut diadakan di Persiaran Perdana Presint 3, Kompleks PPj, Kiblat Walk PPj dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di sini.
Beliau berkata, festival berkenaan dianjur bagi menjadikan Putrajaya lokasi alternatif untuk masyarakat mendapatkan barang-barang keperluan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya percaya festival ini akan dapat mengimarahkan lagi sambutan Ramadan di Putrajaya. Kami menyasarkan kedatangan kira-kira sejuta pengunjung.
“Festival yang bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam ini akan melibatkan 200 orang peniaga,” katanya dalam sidang akhbar Festival Ramadan Putrajaya 2018 di sini.
Menurut Hasim, kelainan pada penganjuran kali ini ialah penglibatan 30 selebriti popular seperti Erra Fazira, Ella; Saiful Apek; Ramlah Ram; Fasha Sanda dan Fahrin Ahmad untuk menjual produk masing-masing.
“Kita juga menyediakan cabutan bertuah dengan hadiah lumayan kepada pengunjung selain persembahan busking oleh artis-artis popular masa kini,” katanya.
Selain itu katanya, pengunjung juga boleh memilih untuk berbuka puasa dan menikmati moreh di Laman Iftar berkonsepkan kafe terbuka di Kompleks PPj dengan membeli juadah di Bazar Ramadan Putrajaya dan jualan food truck,.
“Festival ini turut diisi dengan pelbagai program keagamaan,” katanya.
ram keagamaan dan kerohanian seperti solat terawih bersama imam dari Mesir, zakat pandu lalu dan ceramah-ceramah agama.









