KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Star), Datuk Jeffrey Kitingan mengumumkan akan bekerjasama dengan parti Barisan Nasional (BN) Sabah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Pengumuman tersebut dilakukan dalam satu sidang media khas yang turut dihadiri Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman di Sri Gaya di sini hari ini.
Susulan tindakan Star menzahirkan sokongan kepada BN itu, secara tidak langsung gandingan tersebut mempunyai 31 kerusi yang mencukupi untuk membentuk majoriti mudah.
Dimaklumkan, Musa dijangka ke Istana Negeri dekat sini pada petang ini untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.
Terdahulu, direkodkan pada pilihan raya umum semalam, Star berjaya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Tambunan dan DUN Bingkor. – K! ONLINE










