PASIR MAS 9 Mei – Jika sebelum ini kecoh dalam media sosial mengenai etika berpakaian untuk pengundi, namun hari ini dua beradik mencipta kelainan tersendiri ketika menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Mohd. Ridzuan Hassan, 36, dan abangnya, Mohd. Zainuddin Hassan, 38, tampil di pusat mengundi di Sekolah Ugama Arab Ismailiah, Pohon Buluh, Meranti dekat sini lengkap berbusana Melayu tradisional.
Kehadiran mereka sejak pukul 8 pagi menarik perhatian ramai malah ada yang meminta untuk bergambar bersama.
Mohd. Ridzuan berkata, walaupun kehadiran mereka nampak pelik tetapi itu merupakan manifestasi kecintaannya terhadap busana Melayu itu.
“Ini merupakan usaha berterusan saya untuk menyuburkan lagi pemakaian busana Melayu.
“Sebagai generasi muda, kita tidak perlu takut menghidupkan budaya ini. Tanpa kita, siapa lagi yang mahu berbuat demikian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dua beradik itu mengundi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti dan Parlimen Pasir Mas.
Mohd. Ridzuan berkata, minatnya terhadap busana Melayu berputik pada 2015 ketika dia ingin tampil berbeza pada hari lebaran.
“Sekarang minat itu bertukar menjadi pendapatan sampingan.
“Saya boleh membuat tanjak sendiri selepas mengikuti kelas secara formal kelolaan Dr. Johan Iskandar dan dijual pada harga RM80 hingga RM150,” katanya.










