KUALA LUMPUR 9 Mei – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk N. Rawisandran akan membuat petisyen mahkamah agar keputusan pengundian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua tidak diumumkan sehingga isu di pusat mengundi Sekolah Agama Rakyat (Kafa Integrasi) Al-Humairah Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini diselesaikan.
![]() |
|
N. RAWISANDRAN
|
Beliau berkata, masalah lebih 200 pengundi tidak dapat mengundi di pusat mengundi tersebut merupakan kecuaian Suruhanjaya pilihan Raya (SPR).
“Mereka ini (pengundi) memang datang awal tiga hingga empat jam untuk beratur tetapi SPR tidak mengatur dengan betul dan selesaikan masa pengundian mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Saya merayu supaya SPR fikir dan buat keputusan yang terbaik. Esok saya akan suruh peguam saya buat petisyen mahkamah agar isu ini diselesaikan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Agama Rakyat (Kafa Integrasi) Al-Humairah Kampung Nakhoda lewat petang tadi.
Sementara itu, Ahmad Amzar Ahmad Azlan yang juga peguam bagi calon Pas DUN Sungai Tua, Mohammad Ibrahim berkata, beliau kesal kerana pengundi yang telah beratur beberapa jam di pusat mengundi untuk melakukan tanggungjawab telah dinafikan hak mereka oleh SPR.
“Ini bukan salah pengundi kerana puncanya adalah daripada kelemahan dan ketidakcekapan pengurusan pihak SPR sendiri.
“Kami akan failkan satu bantahan rasmi dan meminta pengundi yang tidak dapat mengundi membuat laporan polis,” katanya.
Tambah Ahmad Amzar, apa yang berlaku sebenarnya merugikan semua pihak sekiranya petisyen mahkamah dibuat oleh calon-calon yang bertanding. – UTUSAN ONLINE
Video Oleh AZIAN AZIZ











