Terbukti tidak berlaku seperti ditularkan - Utusan Malaysia

Terbukti tidak berlaku seperti ditularkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Mei – Selepas pusat pengundian ditutup pukul 5 petang ini, jelas tidak berlaku dakwaan kononnya akan ada orang lain yang mengundi menggunakan nama mereka seperti mesej yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab sejak beberapa hari lalu.

MOHAMMAD RIZAN HASSAN
MOHAMMAD RIZAN

Mesej yang menyeru orang ramai keluar mengundi di sebelah pagi bagi mengelakkan hak tersebut hilang akibat ada orang lain yang mengundi menggunakan kad pengenalan mereka ternyata satu usaha menakut-nakutkan rakyat dan akibatnya telah menyebabkan berlaku kesesakan di pusat pengundian di sebelah pagi.

Isu tersebut terbukti satu persepsi yang diwujudkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengganggu kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selain cubaan mencetuskan sensasi dalam kalangan masyarakat.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Rizan Hassan berkata, mesej yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah cubaan untuk memburukkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Mereka cuba menakut-nakutkan rakyat kononnya proses pengundian boleh dimanipulasi, sedangkan tidak berlaku pun setakat yang diketahui.

“Tindakan pihak sana jelas berbeza dengan apa yang dilakukan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kita anjurkan kempen kesedaran untuk meningkatkan peratusan belia mengundi dalam PRU-14.

“Tapi mereka tak habis-habis berpolitik. Apa pun saya gembira tidak semua belia terpengaruh dengan tuduhan jahat itu. Selain ramai mengundi di waktu pagi, masih ramai juga yang datang mengundi pada waktu petang, itu terpulang pada kelapangan masing-masing,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

SPR tidak menolak kesesakan di pusat pengundian pagi ini antara lain dipercayai berpunca daripada mesej tular sebelum ini yang menggesa pengundi keluar awal supaya tiada orang lain mengundi menggunakan nama mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×