KUALA LUMPUR 9 Mei – Orang ramai dinasihatkan agar tidak termakan permainan persepsi pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang dilihat sengaja mahu mengganggu gugat kelancaran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
![]() |
|
MOHAMAD FAISOL
|
Hal ini kerana, segala persoalan yang timbul sudahpun diberi pencerahan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan rata-rata isu yang disensasikan itu pula hanyalah bersifat teknikal dan boleh diselesaikan oleh Ketua Tempat Mengundi atau Pegawai Pengurus Pilihan Raya(RO).
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, untuk kes-kes terpencil seperti yang dilaporkan portal propembangkang pula, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dakwaan berkenaan berdasarkan laporan polis yang sudah dikemukan pengadu.
Katanya, dalam tempoh masa yang semakin getir ini, fitnah dan tohmahan akan semakin pantas berlegar untuk meletakkan dahulu sentimen kesalahan kepada SPR agar ia boleh digunakan sekiranya mereka tewas.
“Saya yakin bahawa setiap parti telah dapat membuat jangkaan melalui pengiraan sendiri mengenai kedudukan masing-masing.
“Dalam konteks ini bagi menutup kekalahan, maka SPR dijadikan kambing hitam dituduh itu dan ini demi menunjukkan bahawa mereka yang sepatutnya menang,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
SPR telah menjawab kira-kira 10 tuduhan berniat jahat dalam satu sesi sidang akhbar pada pukul 1.30 petang tadi.
Antara fitnah berkenaan adalah kertas undi tidak ‘dicop’, kertas undi dimasukkan dalam kotak yang salah, kertas undi dibawa keluar dan kredibiliti wakil negara-negara pemerhati. – UTUSAN ONLINE











