TAMPIN 9 Mei – Meskipun belum pulih daripada kecederaan akibat kemalangan jalan raya, seorang pengundi muda tidak mahu melepaskan peluang mengundi kali pertama dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 hari ini.
Pelajar Politeknik Merlimau, Melaka, Danish Aizuddin Mohd. Katan, 22, tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun, dekat sini bersama ibunya, Roslina Zainal Abidin, 55, kira-kira pukul 3 petang tadi.
Pelajar jurusan Diploma Elektrik itu tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggung jawab sama seperti para pemilih yang lain.
“Ini kali pertama mengundi dan saya menggagahkan diri datang walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Bagi saya ini satu tanggung jawab kepada negara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Danish Aizuddin yang menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Serkam, Melaka pada Januari lalu.
Beliau cedera patah tulang kaki dan terpaksa menangguhkan pengajiannya dalam semester empat di Politeknik berkenaan. – UTUSAN ONLINE










